Kualiti persis awang import

Kuala Lumpur: Jika pemain lain berhempas pulas memburu tempat dalam pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim depan, lain pula terjadi kepada pemain berstatus kacukan apabila mereka dikatakan kini laku keras dengan mendapat perhatian untuk diserapkan dalam kesebelasan utama.

Keupayaan pemain kacukan yang dikatakan hampir sama dengan awang import menyebabkan pasukan Liga M melihat kehadiran mereka dapat membantu menguatkan lagi pasukan sekali gus membantu kelab mencapai objektif ditetapkan.

Malah, tidak hairan ada antara beberapa pasukan Liga M mengambil langkah susulan dengan memantau dan mencari pemain berdarah kacukan di luar negara untuk diserapkan dalam kesebelasan utama mereka.

Antara pasukan yang berbuat demikian adalah Kuala Lumpur apabila dikhabarkan dalam usaha membawa masuk bekas pemain kebangsaan Junior Eldstal untuk bersama mereka musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan sememangnya mereka dalam usaha rundingan untuk menyerap pemain berkenaan bersama skuad Ibu Kota.

Malah, Nokman turut mengakui mereka sememangnya sedang memantau beberapa pemain kacukan lain termasuk yang berada di luar untuk diserap bersama pasukan.

”Kita mengetahui keupayaan pemain kacukan seperti awang import dan kehadiran mereka dapat membantu pasukan meraih lebih banyak kejayaan. KLFA sedang berunding dengan Junior dan jika perbincangan mengenai soal pembayaran gaji serta beberapa perkara lain dipersetujui, kemungkinan kita akan melihat dia kembali
ke kancah Liga M.

”Selain itu, KLFA juga memantau perkembangan beberapa pemain kacukan lain namun perkara terbabit akan diputuskan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain Kuala Lumpur, skuad Pulau Pinang yang akan bertanding dalam kancah Liga Super musim depan juga dikatakan mengintai bekas pemain Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) Darren Lok untuk menguatkan lagi bahagian serangan.

Pulau Pinang yang kini memiliki seorang pemain kacukan di posisi penjaga iaitu Samuel Somerville berhasrat menambah koleksi individu berdarah kacukan dengan mengambil Darren. Selain itu, beberapa pemain kacukan lain seperti pemain JDT Matthew Davies, Natxo Insa, Corbin-Ong serta tonggak Selangor Brendan Gan manakala Khair Jones (Melaka) masih lagi kekal bersama pasukan masing-masing ketika rakan masing-masing tidak lagi disambung kontrak.