London: Pengurus Tottenham, Jose Mourinho membidas Gareth Southgate dan menggelar pengurus England itu ‘Gary’ selain mempersoalkan perancangannya terhadap Harry Kane.
Mourinho berpendapat penyerang Tottenham, Kane tidak perlu terbabit dalam aksi persahabatan England menentang Wales dan perlawanan Liga Negara-Negara menentang Belgium dan Denmark.
Selepas berdepan jadual padat bersama Tottenham termasuk membelasah Maccabi Haifa 7-2 dalam aksi Liga Europa, Mourinho bimbang Kane kehilangan tenaga.
Sebelum ini, Southgate berkata Mourinho perlu memantau situasi Kane pada April dan Mei menjelang Kejohanan Eropah.
Dengan nada menyindir, Southgate berkata, Mourinho hanya menganggap penolong jurulatih, Steve Holland sebagai kawan dalam komennya.
Kane menunjukkan mengapa kedua-dua pengendali itu mahu dia beraksi pada setiap minit perlawanan selepas meledak hatrik ketika menentang Maccabi Haifa untuk membawa Tottenham ke peringkat kumpulan.
Mourinho ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan mengambil kesempatan dengan membidas pengurus England itu.
“Apa yang saya boleh janjikan kepada kawan saya, Steve Holland dan kepada ‘Gary’ supaya tidak cemburu. Kepada Gary, saya janji sehingga ke hujung musim, Harry Kane tidak akan bermain walapun seminit dalam aksi persahabatan,” kata Mourinho.