Klopp akui Liverpool hilang ketenangan

Birmingham: Jurgen Klopp mengakui Liverpool mula bermain dengan tidak tenang selepas melepaskan gol awal kepada Aston Villa selepas penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dibelasah 2-7.

Olie Watkins menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama tatkala The Reds melepaskan tujuh gol buat kali pertama sejak 1963.

Penjaga gol kedua Liverpool, Adrian sudah pasti tidak dapat melupakan mimpi ngeri apabila kesilapannya membolehkan Watkins membuka ‘pintu empangan’.

“Gol pertama memberi impak tapi ia tidak sepatutnya berlaku. Adrian melakukan kesilapan tapi kami pernah melepaskan gol seperti ini. Selepas itu kami hilang arah.

“Ketika Aston Villa menguasai bola, kami tidak mampu untuk menghalang mereka,” kata Klopp.

Walaupun ada melakukan perubahan pada rehat separuh masa, Liverpool masih belum dapat menghalang Villa, tambah memeritkan mereka melepaskan gol yang membias daripada John McGinn, Ross Barkley dan Jack Grealsih.

“Kami masih ada saat yang terbaik tapi saat terbaik kami tidak ke mana dan saat terbaik mereka membawa kepada peluang untuk menjaringkan gol.

“Mereka seperti bebas berterbangan dan kami pula seperti membuka ruang. Semua ini anda tidak boleh lakukan dalam permainan bola sepak, kami lakukannya malam ini (pagi tadi),” kata Klopp.

Liverpool akan berehat dalam tempoh dua minggu berikutan memberi laluan kepada aksi antarabangsa namun mereka bakal berdepan cabaran sukar apabila perlawanan kembali bersambung kerana bakal berdepan pendahulu liga dalam aksi musuh setempat Merseyside.

“Secara keseluruhan kami semua kecewa, kami tidak sepatutnya tumpas dalam jumlah yang besar namun sekarang ia membabitkan kerja sepasukan dan memastikan ia tidak berlaku lagi,” kata pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.