Kim rampas pendahulu, Kelly Tan keenam

New York: Pemain Korea Selatan, Kim Sei-young yang sedang memburu kejuaraan utama buat kali pertama, melakukan lima birdie pada enam lubang terakhir untuk mendahului satu pukulan selepas berakhir pusingan kedua PGA Championship wanita.

Berusia 27 tahun dan berasal dari Seoul, Kim mencatat lima bawah par 65 untuk catatan keseluruhan empat bawah par 136 di Aronimink dekat Newtown Square, Pennsylvania.

“Saya berusaha meletakkan bola menghampiri lubang bagi mengurangkan tekanan. Ia ternyata banyak membantu saya.

“Saya juga kekal fokus kepada permainan. Secara jujur, saya tidak melihat papan markah sebab saya berada pada momentum yang baik dan mahu meneruskan aksi konsisten itu,” katanya.

Sensasi Malaysia yang berkongsi kedudukan pendahulu hari pertama, Kelly Tan pula melakukan satu atas par 71 di pusingan kedua untuk keseluruhan dua bawah par 138.

Catatan itu menyaksikannya berkongsi kedudukan keenam bersama empat pemain lain, iaitu Ashleigh Buhai, Lydia Ko, Lauren Stephenson dan Linnea Strom.

Kim pernah menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik dalam enam kejuaraan utama dengan paling hampir untuk muncul juara adalah pada PGA Wanita 2015 yang menyaksikannya menduduki tempat kedua selain berkongsi penamat kedua di Evian Championship pada 2018.

Ditanya adakah dia bersedia untuk memenangi kejuaraan utama, Kim berkata: “Ia sentiasa menjadi sasaran saya.”

Jelas Kim lagi, cabaran sengit yang diberikan oleh barisan pesaing lain memberi motivasi tambahan kepadanya.

“Mereka membantu saya mengekalkan momentum dan menamatkan saingan dengan keputusan yang baik,” katanya.