New York: Sensasi golf Malaysia, Kelly Tan melakukan tiga birdie di empat lubang pertama untuk catatan tiga bawah par 67 sekali gus berkongsi kedudukan pendahulu bersama pemain Amerika Syarikat (AS), Brittany Lincicome pada pusingan pertama PGA Championship wanita.
Tiga birdie itu menyelamatkan Kelly yang menduduki ranking ke-189 dunia dan sedang memburu kemenangan pertama di LPGA, selepas melakukan dua bogey pada pusingan pertama yang sangat sukar di Aronimink di Newtown Square, Pennsylvania.
“Saya berasakan dapat melakukan pukulan di kedudukan yang tepat dan menyempurnakannya dengan baik sekali,” katanya.
Pencapaian terbaik Kelly pada LPGA adalah berkongsi penamat keempat pada Marathon Classic 2014 dan selepas itu gagal meraih kedudukan 10 terbaik sehinggalah Ogos lalu apabila dia berkongsi penamat kesembilan di Marathon.
“Saya sentiasa memberitahu diri sendiri bahawa setiap hari saya mempunyai sasaran dan cuba untuk memenuhinya selain membina keyakinan.
“Aksi cemerlang hari ini memberikan saya lebih keyakinan untuk mengharungi pusingan seterusnya,” katanya.
Lincicome pula melakukan empat birdie dan satu bogey dalam usahanya untuk melakar kemenangan ketiga selepas merangkul kejuaraan di ANA Inspiration pada 2009 dan 2015.
“Sangat gembira. Hari ini saya seperti meletakkan kepercayaan kepada diri sendiri. Lapangan ini agak sukar.
“Keadaan cuaca juga berangin dan sentiasa berasa sejuk sepanjang masa,” katanya.