Aksi terakhir Safawi bersama JDT?

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mendedahkan kejuaraan Liga Super yang digapai buat kali ketujuh berturut-turut tampak beremosi tatkala bakal kehilangan Safawi Rasid yang akan berkelana di Eropah untuk menyertai kelab Portugal, Portimonense SC.

Malah baju dipakai Safawi yang tertera ‘I will miss JDT Family’ (Saya akan merindui keluarga JDT) sudah cukup memberi isyarat pemain itu akan meninggalkan pasukan disertai sejak 2017 dengan aksi menentang Sabah yang dimenangi 4-1 semalam kemungkinan aksi terakhirnya.

Bagaimanapun, Mora enggan mengesahkan lebih lanjut mengenai status Safawi dan hanya memberitahu pemain itu akan ke luar negara sama ada hari ini atau selepas aksi terakhir liga menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

“Saya tidak pasti sama ada Safawi akan meninggalkan JDT hari ini atau selepas beraksi dalam beberapa perlawanan saingan Piala Malaysia. Kami akan tunggu apa jua keputusan. Kita tidak tahu bila dia akan berlepas ke luar negara dan ia baik untuk dirinya melebarkan karier bola sepak profesional,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan JDT merangkul kejuaraan liga untuk tujuh musim berturut-turut, Mora mengakui setiap pemain begitu beremosi tatkala menjulang piala berkenaan tanpa kehadiran penyokong yang menjadi pembakar semangat buat barisan pemain.

Apapun, Mora tidak menafikan aksi menentang skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto tampak sukar selepas pasukan itu mengamalkan corak permainan bertahan yang menyukarkan barisan pemain JDT mencipta jaringan.

“Kami kerap melakukan serangan pantas tapi pemain lawan bertindak dengan cara bertahan malah pemain juga sukar menembusi pertahanan lawan. Akibatnya pemain saya tampak kecewa sepanjang 30 minit babak pertama.

“Selepas jaringan Diogo (Luis Santo), barulah kami mula menguasai perlawanan dan corak pemainan lebih agresif di babak kedua.

Hasilnya kami menang dan tiga mata yang amat penting itu milik JDT untuk rangkul kejuaraan liga,” kata Mora.