Yates rampas pendahulu keseluruhan | Harian Metro

PELUMBA Britain, Adam Yates merampas jersi kuning Tour de France ketika pendahulu keseluruhan terdahulu, Julian Alaphilippe dikenakan penalti kerana melanggar syarat perlumbaan pada jarak 20km terakhir.

Yates dari Mitchelton memanfaatkan hukuman yang dikenakan ke atas Alaphilippe ketika pelumba Belgium, Wout Van Aert memenangi peringkat kelima saingan itu.

“Tiada siapa mahu merampas jersi seperti ini,” kata Yates selepas mengetahui perkara itu.

“Saya berada dalam bas dan baharu hendak ke hotel apabila saya dipanggil.

“Saya bertanya kepada Julian dan dia memberitahu dia dikenakan penalti masa,” kata Yates.

Perlumbaan itu menyaksikan penguasaan pasukan Belanda, Jumbo-Visma apabila memenangi dua peringkat dalam masa dua hari ketika Van Aert berjaya mengatasi saingan sengit di penghujung garisan penamat.

Sementara itu, pelumba Ireland, Sam Bennett yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pula merampas jersi hijau daripada juara tujuh kali, Peter Sagan.

Pasukan Jumbo-Visma yang menyenaraikan Van Aert tiba di jelajah itu dalam prestasi terbaik serta senarai barisan pelumba hebat mereka dan dilihat pencabar utama kepada dominasi Team Ineos yang memenangi tujuh daripada lapan jelajah terakhir itu.