Perugia: Polis Itali menyiasat dakwaan bahawa Luis Suarez melakukan penipuan ketika ujian kewarganegaraan Itali dalam usaha untuk mempercepatkan proses perpindahannya ke Juventus.
Suarez terbang ke Perugia minggu lalu dan lulus ujian kewarganegaraan untuk mempercepatkan perpindahannya ke gergasi Serie A itu.
Meskipun kesepakatan sudah dicapai bersama kelab, Suarez kini berdepan kontroversi terbaharu selepas dia dilaporkan melakukan penipuan dalam ujian berkenaan.
Media Itali melaporkan Suarez sudah mengemukakan soalan lebih awal dan lulus ujian bahasa peringkat B1 selepas mengetahui jawapannya dengan siasatan kini sedang berjalan.
Media Repubblica memetik kenyataan seorang pegawai berkata: “Dia tidak tahu bercakap sepatah pun perkataan Itali.
“Jika wartawan bertanya kepadanya beberapa soalan, dia pasti tidak dapat menjawabnya. Dia bakal memperoleh gaji 10 juta Euro (RM48.3 juta) setahun, jadi dia perlu melepasi ujian ini.”
Pihak polis kini sedang mengumpul segala dokumen dari Universiti Perugia di mana Suarez mengambil ujian itu dan pemain berkenaan bakal berdepan tindakan undang-undang yang berat daripada Pendakwa Raya Perugia.
Suarez bakal menyertai Juventus selepas kelab itu berjaya mendapatkan kembali Alvaro Morata yang dipinjamkan ke Atletico Madrid.