Spurs berpeluh sebelum menang

London: Tottenham menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir mengelak daripada tersingkir dengan secara memalukan dalam saingan Liga Europa ketika berdepan Lokomotiv Plovdiv selepas anak buah Jose Mourinho bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan wakil Bulgaria 2-1 yang beraksi dengan sembilan pemain.

Sepakan penalti Harry Kane dan gol kemenangan Tanguy Ndombele lima minit sebelum aksi berakhir memastikan naib juara Liga Juara-Juara 2019 itu tidak tersangkut di halangan pertama kempen Liga Europa ke atas pasukan yang belum pernah melepasi pusingan kelayakan saingan Eropah.

“Saya rasa ia satu pengalaman yang sangat berguna buat pemain. Adakalanya keajaiban berlaku dalam bola sepak dan apabila anda beraksi dalam saingan kalah mati, membabitkan satu perlawanan ia adalah senario paling baik untuk berlakunya keajaiban.

“Semua orang di bahagian mereka mempunyai saat yang diimpikan dan kami pula percaya saat ngeri mampu hadir,” kata Mourinho.

Mourinho membariskan skuad terkuat termasuk Kane, Hugo Lloris dan Son Heung Min dengan hanya melakukan empat pertukaran daripada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mereka tumpas 0-1 kepada Everton.

Bagaimanapun, terdapat bukti nyata mengapa Spurs terdesak untuk membawa pulang Gareth Bale secara pinjaman dari Real Madrid apabila mereka dilihat bergelut memecahkan benteng Plovdiv dan ketinggalan melalui tandukan Georgi Minchev pada minit ke-19.

Kedudukan kembali terikat sembilan minit kemudian apabila Dinis Almeida menampan bola dengan tangan dalam petak penalti dan pengadil tiada pilihan dengan memberikan sepakan penalti serta mengarahkan Almeida keluar padang.

Birsent Karagaren juga menerima kad kuning kedua sebelum Kane menyelesaikan tugasnya.

Ndombele yang bergelut dengan prestasinya di bawah bimbingan Mourinho berjaya meledak gol kemenangan hasil percubaan jarak dekat.

Selepas ini pasukan bimbingan Mourinho akan berkunjung ke Macedonia untuk berdepan pusingan ketiga kelayakan, tatkala ketika itu mereka mampu menggunakan khidmat Bale yang dijangka melengkapkan proses perpindahan hari ini.