Naomi raih Grand Slam ketiga

SENSASI Jepun, Naomi Osaka bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum dapat menewaskan Victoria Azarenka dari Belarus untuk muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) sekali gus gelaran Grand Slam ketiganya.

Naomi yang diletakkan selaku pilihan keempat, mengatasi lawannya itu 1-6, 6-3, 6-3 pada perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 53 minit di Stadium Arthur Ashe yang kosong.

Kini pemain berusia 22 tahun itu sudah memenangi gelaran utama sebanyak tiga kali termasuk Terbuka AS 2018 dan Terbuka Australia 2019.

Azarenka, 31, mudah memenangi set pertama dalam tempoh 26 minit dengan mendominasi 88 peratus servis.

Azarenka mendahului 2-0 di set kedua sebelum Naomi bangkit untuk mendahului 4-3 sebelum terus mempamer aksi cemerlang untuk memenangi set ketiga .

“Saya tidak begitu menikmatinya. Bagi saya ia adalah perlawanan yang sangat sukar.

“Saya hanya memikirkan pastinya amat memalukan jika tewas dalam tempoh satu jam. Jadi saya mencuba sebaik mungkin dan memperbaiki corak permainan,” kata Naomi yang meraih wang kemenangan AS$3 juta (RM12.4 juta).

Naomi adalah pemain wanita pertama sejak 1994 memenangi acara perseorangan Terbuka AS selepas tewas di set pertama.

Dia juga muncul pemain Asia pertama memenangi tiga gelaran Grand Slam sekali gus mengatasi bekas pemain China, Li Na yang meraih dua Grand Slam.