LIONEL Messi memboikot latihan pertama pramusim Barcelona semalam, selepas sumber kelab mengesahkan perkara ini kepada AFP tatkala penyerang itu berterusan berperang dengan pihak pengurusan selepas menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab berkenaan.
Selepas tidak menghadiri ujian Covid-19 kelmarin, Messi sekali lagi tidak kelihatan di padang latihan kelab, Ciutat Esportiva, di mana Ronald Koeman mengadakan sesi latihan pada jam 5.30 petang dan ia adalah kali pertama beliau dilantik menjadi pengurus Barca.
Besar kemungkinan Messi sedang cuba memaksa diletakkan dalam senarai pemain hendak dijual dengan enggan beraksi di La Liga musim depan yang akan bermula 12 September depan.
Pemain berusia 33 tahun itu dan peguamnya percaya bahawa menyertai program pramusim Barcelona akan bertentangan dengan niat mereka yang kononnya Messi sudah bukan kepunyaan kelab itu.
Mereka mendakwa terdapat klausa dalam kontraknya yang membolehkan Messi meninggalkan kelab secara percuma dan ia sudah diaktifkan Selasa lalu.
Bagaimanapun, Barcelona kekal dengan pendirian bahawa klausa berkenaan sepatutnya diaktifkan pada 10 Jun dan tarikh akhir tidak dilanjutkan, walaupun saingan musim lalu terganggu dengan pandemik Covid-19 dan perlawanan akhir Liga Juara-Juara berlangsung pada 23 Ogos.
La Liga menyokong situasi Barca kelmarin dengan mengumumkan klausa pelepasan kontrak Messi, iaitu €700 juta (RM3.4 bilion), masih lagi sah.
Ketua pasukan kelab dan antara pemain terhebat sepanjang zaman itu, yang sudah meledak 634 gol serta meraih 34 kejuaraan, sekarang ini berdepan risiko sama ada didenda atau gajinya dipotong jika terus tidak memunculkan diri.
Manchester City kekal berminat untuk menandatangani Messi, di mana gaji pokoknya saja dijangka kira-kira €60 juta (RM298 juta).
Pemain kelahiran Argentina itu dilaporkan berbincang dengan jurulatih City, Pep Guardiola namun kelab lain juga seperti Paris Saint-Germain, Inter Milan and Juventus sedang berlumba untuk mendapatkannya.