City sahkan pembelian Ruben Dias

London: Manchester City mengumumkan mereka menandatangani pertahanan tengah antarabangsa Portugal, Ruben Dias menerusi perjanjian enam tahun dari Benfica.

Benfica Ahad lalu mengesahkan mereka mencapai persetujuan untuk menjual Dias pada harga 68 juta Euro (RM331.7 juta) termasuk tambahan 3.6 juta Euro (RM17.56 juta) menerusi bonus dengan Nicolas Otamendi akan berhijrah sebaliknya dengan nilai 15 juta Euro (RM73.19 juta).

“Mempunyai peluang menyertai kelab seperti Manchester City adalah sangat menakjubkan buat saya dan sesuatu yang sukar ditolak,” kata Dias menerusi satu kenyataan oleh City.

“Kejayaan mereka menceritakannya sendiri. Mereka adalah pasukan dominan di England sejak beberapa tahun lalu, bermain gaya serangan yang saya rasakan sesuai dengan gaya saya.

“Sangat menakjubkan untuk menjadi sebahagian daripada skuad berbakat dan bermain untuk pengurus berkelas dunia seperti Pep Guardiola, yang memiliki rekod baik membangunkan pemain muda seperti saya.

“Saya percaya boleh meningkat di sini, di kelab yang bercita-cita besar seperti saya dan saya akan berikan apa sahaja untuk berjaya dan menang gelaran.”

Dias menjadi pemain ketiga yang ditandatangani City pada musim panas ini selepas membawa masuk pemain pertahanan Nathan Ake dari Bournemouth dan sayap Sepanyol, Ferran Torres.