Carla Suarez hidap kanser darah

CARLA Suarez Navarro, yang menarik diri dari menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) atas sebab kesihata, berkata bahawa dia disahkan menghidap kanser darah dan memerlukan rawatan kimoterapi selama enam bulan.

“Hi semua, saya mahu memberitahu beberapa hari lalu saya disahkan menghidap kanser darah. Ia dikenali sebagai limfoma Hodgkin.

“Saya perlu menjalani rawatan kimoterapi selama enam bulan. Saya okay dan tenang buat masa sekarang, bersedia untuk berdepan apa saja yang mendatang,” kata Suarez Navarro dalam video yang dimuatnaik di Twitter.

Limfoma adalah kanser di bahagian sistem limfa, di mana ia sebahagian daripada sistem ketahanan badan.

Suarez Navarro, yang akan berusia 32 tahun esok, berkata, Disember tahun ini adalah musim terakhirnya dalam Jelajah WTA.

“Saya harus berdepan realiti yang memeritkan. Ia adalah masa untuk menerimanya dan cuba untuk terus bertahan dengan bantuan nasihat perubatan. Sentiasa berfikiran positif dalam menempuh hari mencabar.

“Kesabaran dan keyakinan membimbing saya sepanjang karier. Selepas ini lawan yang bakal saya tempuhi bukannya mudah. Saya harus memberikan yang terbaik,” katanya.

Pemain Sepanyol itu, sudah tujuh kali layak sehingga ke suku akhir saingan Grand Slam, manakala pencapaian tertinggi adalah menduduki tangga keenam dunia pada 2016 namun dia terpaksa bergelut dengan kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.