London: Arsenal mara ke pusingan keempat Piala Liga selepas menewaskan Leicester City 2-0, awal pagi tadi.
Satu-satunya perlawanan yang membabitkan dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyaksikan Arsenal di depan menerusi jaringan sendiri Christian Fuchs pada minit ke-57.
Eddie Nketiah melengkapkan kemenangan The Gunners apabila meledak gol kedua pada lewat perlawanan sekali gus berkemungkinan besar berdepan Liverpool di Anfield sekiranya penyandang juara liga itu berjaya mengatasi Lincoln, awal pagi esok.
“Ia adalah tempat (Anfield) paling sukar untuk dikunjungi di Eropah dan di dunia. Kami akan buat persiapan terbaik dan kita lihat nanti,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Sementara itu, Everton meneruskan aksi cemerlang mereka musim ini apabila menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Fleetwood 5-2 untuk turut mara ke pusingan keempat.
Skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu selesa di depan menerusi dua gol jaringan Richarlison pada babak pertama perlawanan.
Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol, Jordan Pickford membolehkan Mark Duffy merapatkan jurang buat Fleetwood pada minit ke-48 sebelum Alex Iwobi meledak gol ketiga Everton seminit kemudian.
Reputasi Pickford sekali lagi tercalar apabila kesilapan kedua yang dilakukannya menyaksikan Callum Camps berjaya meledak gol pada minit ke-58.
Namun, Ancelotti boleh menarik nafas lega selepas Bernard dan Moise Kean meledak gol minit ke-73 dan 94 bagi melengkapkan kemenangan pasukan itu.