Syaidatul Afifah hampir putus asa sebelum pulih daripada pneumonia

KUALA LUMPUR: Setelah menjalani rawatan susulan hari ini, pemain boling tenpin wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, disahkan bebas daripada jangkitan pneumonia.

Atlet kelahiran Perak itu dilaporkan sudah kembali menjalani latihan dan bertekad untuk mengembalikan prestasi terbaiknya secepat mungkin.

Dalam satu temu bual bersama wakil Astro Arena, Irfan Ali, Syaidatul Afifah berkongsi mengenai kesukarannya sepanjang bertarung dengan penyakit itu.

“Sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), selama lebih daripada tiga bulan, saya tetap berlatih bersendirian di rumah. Saya memang bersemangat untuk kembali meneruskan latihan.

“Tetapi selepas sudah boleh menjalani latihan, saya pula tidak sihat.

“Saya tidak menjangkakan situasi itu kerana walaupun atlet, kami juga manusia biasa.

“Mungkin ia adalah salah satu dugaan buat saya. Walaupun atlet, saya perlu terima.

“Daripada segi mental, saya masih mempunyai keluarga.

“Walaupun saya tidak sihat, saya ada keluarga untuk berkongsi dan meluahkan perasaan saya.

“Sudah pasti saya berasa kecewa sewaktu saya sakit kerana saya menghadapi banyak dugaan tahun ini, temasuk datuk saya yang meninggal dunia.

“Saya hampir berputus asa kerana saya tidak dapat mendorong diri saya dan tipulah jika perkara itu tidak mengganggu saya.

“Tetapi keluarga saya banyak memberikan nasihat yang positif, jadi saya dapat melaluinya,” katanya.