PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Western & Southern selepas menewaskan lawan dari Jerman, Jan-Lennard Struff 6-3, 6-1, awal pagi tadi.
Djokovic yang memburu gelaran keempat Terbuka AS dan ke-18 trofi Grand Slam hanya memerlukan 62 minit untuk mara ke separuh akhir menentang pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut yang mengejutkan juara bertahan, Daniil Medvedev dari Russia 1-6, 6-4, 6-3.
Djokovic tampak tiada masalah dengan kecederaan leher ketika bintang Serbia berusia 33 tahun itu menguji dirinya di atas gelanggang keras dengan suasana sama pada Terbuka AS yang bakal berlangsung di Flushing Meadows.
“Hebat, saya rasa sangat bagus,” kata Djokovic yang mencatat 21-0 tahun ini.
“Servis saya kurang menjadi dalam beberapa ‘game’ awal tetapi saya bertahan dengan baik. Selepas mendapat break pada set pertama, saya tak menoleh ke belakang. Saya beraksi dengan agresif apabila berpeluang dan kemudian servis barulah seperti diharapkan.”
Djokovic menang kejohanan ini di Cincinnati pada 2018 dan seperti mampu meraih gelaran kedua dalam tiga percubaan menjelang Terbuka AS sekali gus menguji kemampuannya sejak tenis terhenti akibat pandemik Covid-19.
“Semuanya berjalan lancar sejak enam bulan lalu,” katanya.
“Saya perbaiki apa kelemahan yang ada dan harap ia berterusan.”
Bautista Agut yang berada di ranking ke-12 bangkit selepas tewas mudah set pertama.
“Kebangkitan yang sangat bagus,” kata Bautista Agut. “Saya tukar rentak dengan bola. Saya cuba melakukan dengan berbeza dan memiliki voli yang bagus.
“Sangat fantastik dapat bangkit. Saya terus berjuang di set kedua. Aksi yang sangat sukar dan saya lega dapat mengatasinya.”
Kemenangannya itu membolehkan dia bertemu Djokovic yang menang lima daripada tujuh daripada Grand Slam sebelum ini dalam misi memburu rekod Roger Federer dan Rafael Nadal dengan kedua-duanya tidak berada di New York.