Wan Ahmad Fayhsal menegaskan pemain tengah Akademi Bola Sepak St Louis itu, perlu membuktikan kebolehannya bersaing dengan 34 pemain lain dalam kem latihan pusat di Wisma FAM untuk mendapatkan tempat ke Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 B-19.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih (Brad Maloney) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk menentukan kedudukan Wan Kuzri. Tidak bermakna dia adalah adik kepada timbalan menteri, kelebihan akan diberikan kepadanya.
“Saya yakin dengan kemampuannya sebagai pemain yang berpengkalan di AS mampu untuk menyumbang kepada skuad B-19 negara,” katanya pada sidang media selepas meninjau penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020 di Litar Antarabangsa Sepang di sini, hari ini.
Wan Kuzri, 18, yang juga adik kepada seorang lagi pemain sensasi yang beraksi untuk pasukan Sporting Kansas City di AS, Wan Kuzain, memulakan latihan bersama skuad bimbingan Maloney semalam, selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari dan diuji negatif COVID-19 dalam dua ujian swab sejak pulang dari negara itu.
Kejohanan AFC B-19 2020, yang dijadual berlangsung dari 14-31 Okt di Uzbekistan adalah pusingan kelayakan Piala Dunia Bawah 20, di Indonesia pada 2021.
Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yaman, menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama secara merit.