Sukan SEA Vietnam: Atlet senior perlu butir emas

MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak akan berkrompomi dengan atlet senior yang mengidamkan untuk beraksi dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Ini kerana atlet elit negara tiada pilihan selain meletakkan pingat emas sebagai jaminan, sejajar dengan polisi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), yang mahu menghantar lebih ramai atlet muda ke temasya itu.

MSN turut senada dengan badan induk itu memandangkan sudah sekian lama memberikan ruang dan peluang buat atlet-atlet senior yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ia secara tidak langsung akan menjadikan atlet yang terpilih tidak boleh berada dalam zon selesa.

“Kami tidak boleh menghantar atlet senior hanya untuk mendapatkan pingat gangsa sedangkan mereka sudah senior dan sepatutnya memberikan pingat emas,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Sepatutnya, dalam Sukan SEA, atlet kita seharusnya mendapatkan pingat emas dan bukannya perak atau gangsa kerana Sukan SEA hanya ada 10 negara bertanding, berbeza dengan Sukan Asia.

“Mereka perlu membuktikannya untuk layak ke Sukan Asia.

“Mereka harus mendapatkan pingat emas di Sukan SEA terlebih dahulu.

“Mereka harus menjadi juara rantau ini dahulu sebelum ke benua Asia,” katanya.

MSN mahu menjadikan temasya dwitahunan itu sebagai platform permulaan buat atlet muda yang berkemungkinan akan menyertai dua temasya besar pada 2022, iaitu Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou.

Ahmad Shapawi, yang ditemui dalam bengkel perancangan program latihan sukan 2020 hingga 2022 anjuran MSN di Bukit Jalil semalam, menambah:

“Kita boleh bayangkan sekiranya ada atlet senior yang masih susah untuk mendapat tempat terbaik dalam sukan SEA, pasti susah untuk mereka mendapatkan tempat di peringkat Asia selepas ini.

“Kerana itu kami meminta kesemua persatuan dan atlet memahami bahawa Sukan SEA adalah asas kepada atlet perlapis untuk memulakan kehidupan pretasi tinggi sebelum ke Sukan Asia,” katanya.