SOP dan jadual perlawanan Liga M kekal, ini apa yang anda perlu tahu!

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan berlangsung seperti biasa yang mana ia masih kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan aksi diadakan tanpa kehadiran penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan, semua pasukan perlulah mematuhi arahan seperti ditetapkan di dalam SOP pengelolaan perlawanan yang sudah diberikan kepada setiap pasukan bertanding.

“Sebarang pelanggaran kepada SOP merupakan satu kesalahan yang berat dan menyalahi Akta 342: Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“SOP Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia 2020 adalah turut terpakai bagi pengelolaan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos 2020,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Berikut adalah garis panduan pengelolaan perlawanan Liga Malaysia tanpa penonton yang disediakan oleh MFL sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19:

Akses kemasukan ke stadium

1) Hanya 15 orang pengamal media dan 10 orang jurufoto atau juruvideo dibenarkan masuk ke venue perlawanan dan hendaklah berdaftar dengan Pegawai Media Pasukan Tuan Rumah (PTR) sehari sebelum perlawanan.

2) Petugas media WAJIB menggunakan Kad Akreditasi Liga Malaysia 2020.

3)  Kehadiran petugas media WAJIB direkodkan. (Nama penuh, no telefon dan organisasi)

4) Petugas yang merekodkan suhu badan melebihi 37.5° serta mengalami gejala wabak Covid-19 seperti demam, batuk dan sakit tekak tidak dibenarkan masuk ke venue perlawanan.

5) Petugas media WAJIB memakai pelitup muka sepanjang bertugas.

SOP sebelum perlawanan 

1) Petugas media tidak dibenarkan untuk buat rakaman di tempat ketibaan.

2) Petugas media tidak dibenarkan untuk membuat temu ramah pemain sebelum perlawanan.

3) Petugas media WAJIB duduk di media tribun dan perlu mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter.

4) Petugas media tidak dibenarkan duduk di dalam bilik media.

5) Jurufoto mesti mengamalkan penjarakan sosial ketika mengambil gambar pemain masuk ke padang permainan dan juga ketika berada di dalam sebarang kedudukan di sepanjang tempoh permainan.

6) Pegawai Media PTR hendaklah menandakan tempat bertugas petugas media dengan mengekalkan penjarakkan sosial.

7) Petugas media WAJIB memakai pelitup muka sepanjang bertugas.

SOP semasa perlawanan 

1) Jurufoto dan juruvideo dibenarkan untuk berada disepanjang garisan belakang papan iklan (kecuali belakang gol) untuk merakam perlawanan.

2) Jarak jurufoto/juruvideo dengan jurufoto/juruvideo yang lain sekurang-kurangnya mestilah satu 1 meter.

3) Bagi juruvideo yang membuat rakaman dari pentas utama juga harus mengamalkan penjarakan sosial satu 1 meter.

4) Jurufoto/juruvideo yang bertukar tempat semasa separuh masa perlulah menunggu sehingga pemain dan pegawai perlawanan selesai masuk ke bilik persalinan dan perlu menjaga jarak sosial yang disarankan.

5) Pegawai Media PTR hendaklah memantau pematuhan SOP dan penjarakan sosial petugas media sepanjang perlawanan.

6) Petugas media WAJIB memakai pelitup muka sepanjang bertugas.

SOP selepas perlawanan 

1) Bilik sidang media perlu dihadkan jumlahnya kepada petugas media mengikut keluasan bilik serta mengamalkan penjarakan sosial.

2) Jarak antara petugas media adalah satu (1) meter.

3) Jarak antara petugas media dan meja sidang media dua (2) meter.

4) Petugas media tidak dibenarkan membuat temuramah di luar dari Bilik Sidang Media selepas tamat sidang media.

5) Petugas media tidak dibenarkan untuk menunggu di ruang Mixed Zone.

6) Pegawai Media PTR hendaklah memastikan dan memantau pelaksanaan SOP tersebut.

7)  Petugas media WAJIB memakai pelitup muka sepanjang bertugas.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak MFL sedang memantau perkembangan terkini Wabak COVID-19 di Sabah dan Sarawak dan sebarang keputusan ke atas pasukan Sabah, Sarawak United FC dan Kuching FA akan dimaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan.

Untuk rekod, aksi Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung 26 Ogos di mana perlawanan akan dilangsungkan secara satu pusingan bermula minggu kelima sehingga minggu ke-11.

Sehubungan dengan itu, buat masa ini Jadual perlawanan Liga Malaysia 2020 adalah kekal
seperti yang diedarkan.

“Penundaan tarikh Asian Champions League 2020 yang melibatkan pasukan Johor Darul
Ta’zim (17 Oktober hingga 4 November 2020) turut diambil kira di mana perancangan pihak
penyiar rasmi dan komersial yang telah dirangka lebih awal oleh MFL.

Perancangan jadual itu turut mengambil kira persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) pada bulan Oktober dan November 2020.