Menurut Kementerian Pertahanan, wabak tersebut mempunyai impak besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, dan ia masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
“Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan selaku penganjur utama LIMA’21 juga sedar akan impak global COVID-19 yang bukan sahaja dari sudut kesihatan, malah kesan besar terhadap sosial dan ekonomi dunia.
“Sehubungan itu, kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lepas memutuskan untuk membatalkan penganjuran LIMA’ 21 berdasarkan impak ekonomi penularan COVID-19,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.
Ia menjelaskan, impak ekonomi dilihat memberi kesan besar terhadap jumlah penyertaan pempamer dan pelabur dalam acara antarabangsa seperti LIMA’21.
Ia juga, katanya, berkait rapat dengan langkah diambil oleh kebanyakan negara untuk menutup sempadan dan menyekat perjalanan ke luar negara.
“Ia adalah bagi mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan seterusnya menyukarkan pihak kementerian untuk mencapai sasaran penyertaan yang ditetapkan.
“Kekangan masa dalam keadaan mencabar penganjuran acara berskala besar seumpama ini memerlukan tempoh wajar agar dapat dirancang dengan teliti dan terperinci.
“Ini termasuk untuk menjalankan aktiviti promosi serta publisiti bagi mendapatkan sasaran penyertaan dan juga memenuhi keperluan pelbagai sektor berkaitan,” tambahnya.
Kementerian Pertahanan berkata, perkara itu sekali gus mempengaruhi impak kepada penjenamaan LIMA’21 yang selama ini diklasifikasi sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia.
“Pulangan perbelanjaan kerajaan dan syarikat penganjur kos penganjuran LIMA’21 dijangka meningkat mengambil kira keperluan memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Dengan jangkaan jumlah penyertaan akan berkurangan, sukar untuk mencapai pulangan pelaburan berbanding kos yang dikeluarkan kerajaan dan penganjur,” menurutnya.
Tambahnya, keputusan pembatalan juga dibuat setelah mengambil kira pandangan pemegang taruh dan pihak-pihak berkaitan lain.