Reezal bawa usul SOP sukan renang ke Mesyuarat Khas Menteri

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bakal membawa usul dan cadangan prosedur operasi standard (SOP) sukan renang yang lebih komprehensif untuk pertimbangan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis depan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menerusi satu kenyataan, menyebut bahawa Reezal Merican telah memberikan keyakinan itu kepada penggiat arena sukan renang selepas mengadakan perbincangan pada satu sesi libat urus pada Jumaat.

Ia bertujuan untuk mendapatkan kebenaran beroperasi bagi kolam renang pelbagai jenis seperti kolam saiz Olimpik dan separa Olimpik yang diiktiraf badan antarabangsa, kolam pelbagai saiz untuk tujuan rekreasi di kondominium serta hotel, kelab golf, pusat sukan dan juga di dalam kompleks atau di dalam rumah kedai untuk tujuan komersil.

“Semua pihak telah bertukar-tukar pandangan dan bersama-sama membincangkan perincian terhadap SOP Am Individu dan SOP Am Pengurusan untuk sukan renang atau kolam renang yang bakal dikemukakan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP dalam masa terdekat.

“Antara yang dibincang dan dicadangkan adalah supaya pihak kerajaan memberi pertimbangan untuk pembukaan kolam renang secara beransur-ansur, contohnya bermula dengan latihan renang tanpa sentuhan fizikal.

“Ia seperti untuk latihan renang termasuk sukan terjun untuk atlet kebangsaan, negeri dan juga untuk perenang kelab serta akademi renang dalam program-program tertentu yang boleh dikawal dan dipantau pematuhannya kepada SOP semasa dan yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, ramai penggiat sukan itu dan pemilik akademi renang mengeluh kerana kehilangan pendapatan sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Berikutan itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri menyarankan agar KBS, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berbincang serta memperincikan lagi SOP bagi sukan renang.

Sesi libat urus itu dihadiri Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pegawai kanan dan wakil kementerian serta agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KKM, MKN, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Bomba.

Turut hadir wakil Persatuan Sukan Renang Amatur Malaysia, Persatuan-Persatuan Sukan Renang Amatur Negeri-Negeri, Persatuan Hotel, Persatuan Aquatik, persatuan serta wakil jurulatih serta pemilik/operator kolam renang, kelab dan akademi renang.