Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi laman web rasminya memaklumkan bahawa liga satu dan dua untuk musim ini akan dilangsungkan kembali dengan kesesuaian protokol kesihatan yang ketat.
Menurutnya PSSI sedang menyusun penjadualan semula perlawanan, menyediakan garis panduan berkaitan peraturan perlawanan, protokol kesihatan kepada pemain, garis panduan untuk liputan media dan sebagainya, sebagai persiapan untuk menyambung kembali saingan liga yang dihentikan Mac lepas akibat penularan COVID-19.
PSSI juga akan melakukan koordinasi dengan Kementerian Pemuda dan Olahraga, serta Kementerian Kesihatan Indonesia, dan setakat ini isu berhubung kebenaran untuk para penonton hadir bagi menyaksikan perlawanan liga itu, masih belum dimuktamadkan lagi.
Kes positif COVID-19 di Indonesia setakat Jumaat terus meningkat melepasi angka 43,000 dengan tambahan 1,041 kes baharu dalam tempoh 24 jam.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh antara pukul 12 tengah hari Khamis sehingga 12 tengah hari Jumaat, sebanyak 34 lagi kematian berlaku, menjadikan angka keseluruhan jumlah kematian kini menjangkau 2,373 orang.
“Kes positif kini berjumlah 43,803 manakala sebanyak 13,211 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.
Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 678 kes, diikuti provinsi Jakarta (578 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (152) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.