EPL disambung semula minggu ini

LIGA Perdana Inggeris (EPL) akan bersambung semula minggu ini dengan perlawanan minggu ke-29 yang tidak sempat dimainkan akibat pandemik COVID-19.

Dua baki perlawanan tersebut adalah Aston Villa menentang Sheffield United dan Manchester City menentang Arsenal pada awal pagi Khamis.

Peminat bola sepak Inggeris sudah pasti tidak sabar untuk menyaksikan pasukan pilihan mereka beraksi semula dalam saingan EPL yang digantung sejak 13 Mac akibat pandemik COVID-19.

Semasa liga dihentikan, Liverpool yang menang 27 daripada 29 perlawanan mendahului carta dengan 82 mata.

The Reds meninggalkan jauh Manchester City di tempat kedua dengan 25 mata dan memerlukan sekurang-kurangnya dua kemenangan sahaja untuk mengesahkan kejuaraan menjadi milik mereka.

Kali terakhir Liverpool memenangi gelaran utama Liga Inggeris adalah pada 1990 dan pandemik COVID-19 merencatkan usaha The Reds melakar pelbagai sejarah baharu EPL.

Liverpool mungkin mengesahkan kejuaraan milik pasukan Merseyside itu seawal Ahad ini jika City gagal menewaskan Arsenal dalam perlawanan yang akan berlangsung pada 18 Jun ini jam 3:15 pagi.

City yang dikendalikan Pep Guardiola akan menerima kunjungan Arsenal yang dibimbing bekas pembantu pengurus The Citizens, Mikel Arteta.

Arsenal melalui prestasi tidak menentu musim ini apabila sekadar mencatat sembilan kemenangan dan 40 mata kini berada di tangga kesembilan liga.

Sementara Liverpool akan mengharungi Merseyside Darby menentang jiran mereka Everton pada Ahad.