Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, berkata rayuan untuk mendapatkan bantuan itu adalah bagi meringankan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung ketika ini terutamanya selepas penaja utamanya, After Image Sdn Bhd menarik diri baru-baru ini.
“Kami merayu kerajaan negeri bantulah kami dalam kemelut kewangan yang meruncing ini. Sayangilah Kelantan FA yang pernah menaikkan nama Kelantan suatu ketika dahulu,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan krisis kewangan KAFA semakin parah selepas Datuk Wan Rakemi Wan Zahari meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.
Peletakan jawatan itu juga secara tidak langsung menyaksikan After Image sebagai pihak berkepentingan terbesar dalam Team TRW Sdn Bhd turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.
Ahmad Muzakkir berkata bantuan kewangan itu diperlukan kerana persatuan bergantung sepenuhnya kepada rakan penaja serta hasil penjualan tiket dan jersi.
“Sekarang saingan Liga-M (Liga Malaysia) ditangguhkan menyebabkan aliran kewangan tidak masuk ke akaun KAFA.
“KAFA adalah milik rakyat, mereka juga turut bersedih dengan nasib yang menimpa kami, ramai di antara mereka telah menterjemahkannya dengan derma yang dilancarkan sebelum ini,” katanya.