Jelajah ATP dan WTA ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Julai depan akibat pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kalendar sukan global.
Kejohanan Wimbledon tahun ini sudah pun dibatalkan sementara Terbuka Perancis ditunda ke September depan, namun perebutan kejuaraan di Roland Garros itu termasuk Terbuka Amerika Syarikat (AS) tetap dalam keraguan.
Nadal, yang masih berhasrat untuk beraksi secara kompetitif sebelum akhir tahun ini, bagaimanapun menganggap pendekatan yang lebih realistik ialah merancang untuk mengharungi musim 2021, yakni Grand Slam pembukaan, Terbuka Australia.
“Saya harap kami dapat kembali sebelum akhir tahun ini tetapi, sayangnya, saya tidak rasa begitu,” katanya kepada El Pais.
“Saya akan menganggap keperluan ketika ini adalah membuat persediaan bagi 2021. Saya lebih bimbang dengan nasib Terbuka Australia daripada apa yang berlaku pada akhir tahun ini.
“Saya berasakan saingan 2020 hampir pasti tidak dianjurkan. Saya harap kami dapat beraksi lagi tahun depan, saya amat berharap,” katanya.