Project Restart: EPL mulakan persediaan untuk kembali

PENYOKONG Liverpool boleh manarik nafas lega kerana kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) mula mengorak langkah untuk menyambung semula saingan Premier League menerusi satu inisiatif yang dinamakan “Project Restart”.

Setakat ini, Arsenal dan Brighton sudah membuka pusat latihan mereka untuk pemain melakukan latihan kecergasan secara individu pada Isnin.

Menurut laporan BBC, Premier League berharap dapat meneruskan saingan liga pada 8 Jun dan menamatkan baki permainan pada penghujung Julai.

Liverpool mendahului EPL dengan 25 mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City dengan baki sembilan perlawanan musim ini.

Kelab Merseyside itu hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan milik mereka.

EPL dan liga bola sepak di England digantung sejak 13 Mac akibat penularan virus COVID-19 namun setiap kelab yang terlibat bertekad untuk menghabiskan baki musim ini sebelum Ogos, seperti yang ditetapkan badan bola sepak Eropah, UEFA.

Kesemua perlawanan dijangka diadakan di stadium tanpa penonton dan ada juga cadangan kesemua perlawanan disiarkan secara percuma kepada semua.

Kesemua wakil kelab utama akan bermesyuarat pada Jumaat untuk membincangkan pilihan yang ada untuk liga disambung.

Kelulusan kerajaan UK masih diperlukan untuk liga disambung semula dengan lima permintaan utama perlu dicapai, terutama sekali meningkatkan ujian COVID-19 terhadap pemain dan garis panduan penjarakan sosial.

Sebelum ini, liga bola sepak di Belanda muncul liga pertama di Eropah yang dibatalkan dengan tiada juara dinobat dan tiada pasukan yang tersingkir ke liga bawahan.

Belgium pula menamatkan liga dengan lebih awal dengan Club Brugge diisytihar sebagai pemenang, selepas kelab itu mendahului liga dengan 15 mata dengan baki satu perlawanan musim ini.

Itali pula membenarkan latihan secara individu dimulakan pada 4 Mei dan secara berpasukan pada 18 Mei.