Neymar resah tunggu peluang kembali perkuat PSG

PENGGEMPUR Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, resah memikirkan detik untuk dia kembali dapat bermain bola sepak.

Neymar pulang ke Brazil selepas kebanyakan saingan di Eropah ditangguhkan susulan wabak coronavirus dan menjalani proses pengasingan bersama jurulatih fizikal, Ricardo Rosa, dan pemain tengah Palmeiras, Lucas Lima, di Mangaratiba, selatan Rioe Janeiro.

Ligue 1 menyasarkan untuk menyambung saingan 2019-20 pada 17 Jun depan dan menamatkan kempen pada 25 Julai.

Semalam, jawatankuasa eksekutif UEFA mencadangkan agar kesemua saingan tertinggi yang ditangguhkan dapat ditamatkan jika boleh.

Neymar mengakui kehidupannya sukar tanpa saingan bola sepak dan berharap dapat menerima tarikh kukuh untuk kembali beraksi secepat mungkin.

“Tidak tahu bila dapat beraksi membuatkan saya resah,” katanya.

“Saya sangat rindukan untuk beraksi, bersaing, persekitaran kelab serta rakan sepasukan di PSG. Saya sangat rindukan bola sepak!

“Saya pasti peminat juga mahu melihat semua kembali ke atas padang secepat mungkin. Saya harap keputusan diraih dengan cepat.”

Dalam masa sama, Neymar memastikan kecergasannya sentiasa di tahap terbaik dengan kehadiran Rosa dan sedia beraksi apabila diperlukan.

“Rosa merupakan pasangan saya dalam bola sepak dan kehidupan. Hasil kerjanya sangat penting dalam karier saya,” tambahnya.

“Kami bekerjasama dalam tempoh yang lama, jadi dia tahu apa yang saya perlukan untuk berada di tahap terbaik menjelang perlawanan.”