Dalam satu kemaskini di akaun Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis, Tunku Ismail yang mesra disapa TMJ meluahkan sokongan terhadap bintang muda itu yang dianggap sebagai top player yang profesional.
“Beliau seorang pemain yang sangat berbakat serta mempunyai masa hadapan yang cerah dan saya yakin beliau akan membuat keputusan-keputusan yang akan membantunya berjaya.
“Sepertimana dengan setiap individu yang merupakan sebahagian daripada keluarga JDT, saya akan sentiasa bersama Safawi.
“Dan kelab ini akan melakukan yang terbaik untuk memastikan hanya yang terbaik untuk kerjaya Safawi,” tulis baginda.
Di ruangan komen, netizen memuji sikap TMJ dan berharap Safawi tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan big boss JDT itu.
Kontroversi timbul sebelum ini apabila TMJ memuat naik status di akaun Instagram menegur prestasi Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2019 itu, yang didakwa merosot kerana terlalu memikirkan hal peribadi.
TMJ mendakwa hubungan Safawi dengan seorang pelakon wanita telah membawa kepada kemerosotan itu, malah pelakon wanita itu juga didakwa memaksa Safawi berkahwin dengannya.