Tenis, saya ucapkan selamat tinggal – Maria Sharapova umum bersara

SELEPAS 28 tahun beraksi dalam gelanggang tenis, bintang yang berasal dari Rusia, Maria Sharapova akhirnya bersara.

Sharapova yang pernah merangkul gelaran Grand Slam sebanyak lima kali sepanjang kerjayanya, mengumumkan persaraannya itu pada usia 32 tahun.

Pengumuman yang penuh beremosi itu dibuat menerusi satu penulisan ekslusif oleh Sharapova yang dikongsikan kepada Vanity Fair pada Rabu.

“Saya telah memberikan seluruh hidup saya kepada tenis dan tenis telah memberikan satu kehidupan kepada saya. Saya akan rindukan setiap saat dalam dunia tenis,” katanya. Menurutnya, faktor kesihatan merupakan punca utama baginya untuk membuat keputusan mengakhiri kariernya itu.

Beliau yang juga bekas pemain tenis nombor satu dunia, mendakwa bahawa kecederaan bahu yang dialaminya itu membuatkan dirinya terpanggil untuk bersara daripada dunia tenis.

Sebelum ini, Sharapova juga pernah mendedahkan bahawa beliau ingin bersara selepas tamatnya sukan Olimpik 2016 di Rio.

Untuk rekod, Sharapova pernah digantung 15 bulan akibat kegagalan ujian doping ketika dalam saingan Terbuka Australia tahun 2016.