Sudah tiga tahun, Tunku Ismail perhati Matt Davies

JOHOR BAHRU: Penyertaan Matthew Davies atau Matt Davies dalam skuad Harimau Selatan disifatkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai satu pelaburan terbaik dan jangka masa panjang.
Menurut Tunku Ismail, selain masih muda, bekas kapten Pahang itu juga diyakini mampu menguatkan lagi skuad Benjamin Mora dalam mengharungi kempen Liga Malaysia, bermula hujung bulan ini.

“Kami berbesar hati apabila mendapat Matt Davies yang memiliki sikap profesional dan tahu apa yang diinginkan kelab ini. Pastinya kehadirannya akan memantapkan lagi pasukan terutama di benteng,” kata Tunku Ismail seperti dilaporkan portal Berita Harian.

Kehadiran Davies dalam pasukan JDT, kata Tunku Ismail, tidak akan menjejaskan tempat pemain lain terutama posisi bek kanan kerana Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak lama.

Dalam masa sama, Tunku Ismail berkata, S Kunanlan juga akan tetap bersama JDT.

Sementara itu, ditanya mengenai nilai perpindahan Matt Davies ke JDT, Tunku Ismail bagaimanapun, enggan mendedahkannya.

Sebaliknya, beliau memaklumkan segala urusan perpindahan itu antara beliau dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Ia antara dua pemilik kelab dan itu antara saya dan Tengku Muda Pahang,” kata Tunku Ismail lagi.

Dalam pengumuman penyertaan Matt Davies ke JDT, Tunku Ismail turut mendedahkan, sudah tiga tahun beliau memerhati kelibat pemain berusia 25 tahun itu.

Ketika itu, Matt Davies masih bersama dengan skuad Tok Gajah dan Tunku Ismail berpendapat, pemain berkenaan telah menimba pengalaman yang cukup baik.

Tunku Ismail turut memberitahu, beliau juga sedang merancang untuk membawa beberapa lagi pemain baharu pada masa depan ke dalam JDT

“Itu perancangan kami musim depan dan kebanyakan pemain tempatan dan mungkin seorang pemain import dan nanti kita akan umumkan jika segala urusan dinoktahkan,” kata beliau lagi.