Selain sasaran berada di pentas podium, katanya, beliau akan menggunakan kejohanan itu untuk melakukan sebarang pelarasan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020.
Mengenai persiapannya menjelang kejohanan trek dunia itu, Azizulhasni berkata meskipun hanya 90 peratus pulih selepas terbabit dalam kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, Disember lalu, namun persiapan tetap diteruskan.
“Bahu saya masih sakit kalau latihan di gimnasium atau berkayuh di atas ‘roller’ tetapi kayuhan di gelanggang tidaklah menjejaskan, tetapi secara keseluruhannya persiapan sudah mantap,” katanya.
Pada kejohanan trek dunia, Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Fadhil dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga pelumba negara itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.
Ditanya mengenai tekanan yang dihadapi apabila dijadikan sandaran utama bagi meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo, Azizulhasni, berkata perkara itu dijadikan sebagai tanggungjawab dan harus mengawal serta menerima tekanan yang diberikan.
Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijadual bermula 22 Julai hingga 9 Ogos ini.