Demi keselamatan atlet negara, KOM buat pusingan U

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S.M. Muthu, mengesahkan skuad negara terpaksa membatalkan penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Tehran, Iran bermula Khamis ini selepas mendapat maklum balas Kedutaan Malaysia di republik itu.
KOM membuat pusingan ‘U’ beberapa jam sebelum skuad negara berlepas ke Tehran, dengan pembatalan itu terpaksa dibuat demi keselamatan atlet negara ketika risiko konflik ketenteraan di antara Iran dan Amerika Syarikat kian meningkat.“Kami mengambil keputusan untuk tidak menghantar atlet negara beraksi di Tehran bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” kata Muthu.

Skuad olahraga negara pada awalnya merancang menghantar lima atlet.

Jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, awal-awal lagi menarik diri ekoran faktor keselamatan selain kejohanan itu tidak menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet negara juga akur dengan keputusan KOM dan kembali fokus terhadap sesi latihan menjelang saingan berikutnya, Kejohanan Dalam Dewan Asia di China bulan depan.

“Ini adalah keputusan yang baik daripada KOM. Krisis yang berlaku di Iran adalah faktor utama kami tidak beraksi di sana,” kata atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengadakan rundingan dengan mana-mana persatuan yang tetap mahu menghantar atlet mereka ke wilayah bergolak.

Keutamaan perlu diberikan terhadap kejohanan kelayakan Olimpik Tokyo atau persatuan perlu merancang pelan B.

“Mengenai isu ini, lebih baik kami duduk bersama dan membincangkan perkara ini. Kami baru sahaja menerima maklum balas daripada kedutaan di Iran, benarkan saya bercakap dengan mereka terlebih dahulu,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.