Sukan SEA: Permulaan positif – Atlet e-sukan teruja dengan pengiktirafan

MANILA: Buat pertama kalinya temasya sukan gilang-gemilang Sukan SEA menampilkan kategori sukan elektronik (e-sukan) sebagai sukan kompetitif di Sukan SEA Filipina 2019.

Bertempat di Filoil Flying V Centre, di sini, acara e-sukan kini sebaris dengan acara-acara sukan lain yang dipertandingkan seperti bola keranjang, bola jaring dan bola sepak.

Menjadi pengurus bagi pasukan e-sukan Malaysia, Firdaus Hashim berkata ia adalah permulaan yang positif untuk industri sukan itu.

“Kami sangat terharu apabila mendapat pengiktirafan yang sudah lama kami inginkan, jadi kesemua para pemain sememangnya sangat teruja.

“Walaupun kebiasaannya wang menjadi rebutan para pemain permainan e-sukan, kali ini ia berbeza, kami bermain mewakili negara dan kami menerima sokongan penuh daripada rakyat seluruh negara,” katanya.

Lapor portal e-sukan Newzoo, secara keseluruhan, tahun ini permainan e-sukan menjangkakan pasaran sebanyak AS$1.1 bilion, lebih AS$230 juta berbanding tahun 2018 dipengaruhi perkembangan penajaan, penjualan tiket dan cenderamata.

Industri sukan ini terbukti sangat memberangsangkan apabila ia menerima 454 juta pengguna dilaporkan mengikuti siaran langsung e-sukan secara online seperti di Twitch dan Microsoft’s Mixer.

Malah, penganjuran perlawanan e-sukan juga dilihat menjadi fenomena di seluruh dunia dan menjadi pencabar bagi sukan tradisional lain dari segi saiz dan skala penyertaannya.

Buat pertama kali, e-sukan diperkenalkan di Sukan SEA

“Ramai anak muda kini mula menceburi pelbagai permainan atas talian yang dilihat semakin kompetitif,” kata jurulatih pasukan Indonesia di Sukan SEA Filipina 2019, Reza Servia.

“Kamu perlu menjadi pemain yang hebat dan untuk menjadi pemain yang hebat, kamu kena sentiasa bermain permainan itu.

Namun, kamu perlu ada strategi yang bagus dan kefahaman yang tinggi untuk memahami mekanisme permainan itu,” ujarnya.

Acara e-sukan di temasya Sukan SEA Filipina 2019 bermula dari 5 hingga 6 Disember ini.

Sebanyak enam pingat ditawarkan kepada para atlet iaitu Dota 2, StarCraft II, Hearthstone, Arena of Valor, Mobile Legends: Bang Bang, dan Tekken 7.

Atlet Singapura, Thomas Maria Kopankiewic berharap agar sukan itu akan menjadi acara sukan tetap di mana-mana temasya sukan lain.

“Sangat mengagumkan apabila e-sukan kini menjadi sebahagian daripada Sukan SEA, yang juga di peringkat ASEAN. Mungkin tidak lama lagi e-sukan akan ke Olimpik,” katanya.

Temasya Sukan SEA Filipina 2019 merupakan edisi ke-30 penganjurannya dan ia adalah kali keempat negara Filipina menjadi tuan rumah bagi temasya itu sejak 2005.