“Atlet kita seperti Jarell Cheong Tze Wen dan Koh Jinnee tunjukkan prestasi yang baik, terutamanya dalam acara pasangan standard walaupun mereka masih muda.
“Bagi acara Latin, atlet kita mempamerkan prestasi terbaik, cuma mungkin masalah pemarkahan yang menghalang mereka meraih kedudukan lebih baik pada kali ini, dan saya paling berbangga dengan Lego Sam kerana berjaya raih pingat emas,” katanya ketika ditemui Bernama selepas berakhirnya acara tarian Sukan SEA 2019 di Ballroom Royce Hotel and Casino, dekat sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Chua berharap keputusan sederhana yang diraih beberapa penari muda negara pada Sukan SEA kali ini boleh dijadikan sebagai pengalaman berguna untuk menghadapi kejohanan akan datang.
Ditanya mengenai hala tuju skuad sedia ada, beliau berkata mereka akan menyertai kejohanan kebangsaan pada penghujung tahun ini, selain bakal meneruskan latihan di benua Eropah bagi meningkatkan lagi skil tarian masing-masing.
Pada masa yang sama, beliau turut mendedahkan mereka akan terus memantau perkembangan Lego Sam bagi memastikan penari berusia 24 tahun itu terus diberi peluang menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa pada masa depan.
Sebagai rekod, seramai sembilan penari negara menyertai Sukan SEA 2019 di atas perbelanjaan sendiri memandangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan pasukan berkenaan dalam kategori B2.
Menerusi kategori berkenaan, persatuan terlibat harus menanggung perbelanjaan atlet masing-masing, dan MOM tidak akan membayar semula wang perbelanjaan walaupun atlet berkenaan meraih sebarang pingat kerana persatuan tersebut bukan ahli gabungan MOM.
Tuan rumah, Filipina muncul juara keseluruhan acara tarian Sukan SEA 2019 setelah meraih sembilan emas dan tiga perak.
Untuk rekod, sukan tarian kembali dipertandingkan buat kali ketiga pada Sukan SEA kali ini setelah kali terakhir diadakan pada edisi 2005 di Manila, sebelum berjaya meraih satu gangsa menerusi gandingan Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen dalam acara Latin Amerika (Rumba) pada edisi 2007 di Korat, Thailand.