FAM mungkin ikut cara Vietnam, Thailand

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk mengikut cara Vietnam dan Thailand dengan mencanang bahawa ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, merupakan pilihan tepat untuk mengendalikan skuad B-22 negara tahun depan.

Jawatan jurulatih skuad B-22 negara itu sedang hangat diperkatakan selepas FAM memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) selepas pasukan bimbingannya terkandas seawal peringkat kumpulan dalam Sukan SEA Filipina awal bulan ini.

Ada pihak mencadangkan agar mandat itu diberikan kepada Cheng Hoe — sama seperti Park Hang Seo (Vietnam) dan Akira Nishino (Thailand), yang memegang dua jawatan itu buat majikan masing-masing.

“Keputusan untuk (melantik) jurulatih skuad B-22 itu akan dibincangkan dalam (mesyuarat) Jawatankuasa Skuad Kebangsaan pada Februari atau Mac depan.

“Saya mahu tambah di sini bahawa adalah tidak mustahil untuk ketua jurulatih skuad kebangsaan memikul (tanggungjawab dalam) pasukan B-22,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Pilihan badan induk itu dilihat cukup rasional kerana ia akan memudahkan peralihan pemain daripada skuad B-22 kepada skuad senior.

“Kita perlu sedar bahawa kami ada perjalanan yang amat penting bersama jurulatih Tan Cheng Hoe hingga Jun depan.

“Dan saya rasa kami perlu meletakkannya sebagai kepentingan dalam perbincangan dan keputusan yang akan dikeluarkan FAM,” tambahnya.