Ia juga adalah berikutan daripada apa yang berlaku di Doha, Qatar pada bulan lalu apabila hampir 40 peratus pelari maraton wanita yang menyertai Kejohanan Olahraga Dunia gagal menghabiskan perlumbaan kerana cuaca terlalu panas.
Ini bermakna, dengan kurang daripada sembilan bulan sebelum Sukan Olimpik 2020 bermula, penganjur perlu mengaturkan maraton lelaki dan wanita untuk diadakan di Sapporo iaitu bandar terbesar di kepulauan utara Hokkaido, Jepun.
Sehubungan itu, jawatankuasa penganjur Sukan 2020 Tokyo bersetuju dengan Sapporo dan Hokkaido bahawa kedua-dua kerajaan tempatan tidak akan membiayai kos berkaitan dengan maraton Olimpik dan acara berjalan kaki yang akan diadakan di bandar.
Perjanjian itu dibuat pada mesyuarat tiga hala di Sapporo di mana ketiga-tiga pihak mengesahkan bahawa kerajaan tempatan tidak akan menanggung sebarang kos perbelanjaan sebaliknya hanya akan menanggung kos yang berkaitan dengan pembaikan jalan dan kerja pentadbiran lain.
Pada awalnya, kerajaan Tokyo tidak bersetuju dengan pemindahan tempat acara maraton tersebut namun atas beberapa pertimbangan yang dilakukan, mereka menerima keputusan tersebut dengan syarat tidak perlu menanggung kos yang berkaitan dengan perubahan tempat.
Bagaimanapun, Professor Shige Nakajima, pengajar di Japan College of Foreign Language yang juga merupakan wakil sukarelawan Tokyo Olimpik 2020 berkata pemindahan tersebut tidak menjadi satu isu yang besar kerana di mana sekalipun acara tersebut, ia turut membawa imej negara Jepun.
Namun, ia mungkin menjadi masalah kepada sukarelawan yang perlu bertugas di Sapporo kerana mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan kemudahan hotel, pengangkutan dan sebagainya.
“Ia akan menjadi perubahan besar kerana pastinya sudah ada pihak yang terlibat seperti penonton, media dan sebagainya bagi acara berprestij tersebut sudah menempah hotel di Tokyo dan kini mereka perlu menukar semua kelengkapan penginapan mereka ke Sapporo pula,” katanya semasa ditemu bual oleh wartawan Malaysia di Tokyo.
Dalam pada itu, laluan bagi maraton Olimpik dan acara lumba jalan kaki serta titik permulaan dan penghabisan bagi kedua-dua perlumbaan akan ditentukan oleh pihak Maraton Hokkaido.
Jika ingin diikutkan, suhu di ibu negara Jepun, Tokyo pada bulan Julai dan Ogos seringkali melebihi 30 darjah celsius, dengan kelembapan tinggi dijangka memberi kebimbangan dan dapat mengganggu prestasi atlet.
Manakala di Sapporo, dalam tempoh musim panas yang mana bakal berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah sebanyak enam darjah sejuk pada siang hari berbanding di Tokyo.