Beliau berkata keputusan berat merehatkan penyerang muda itu dibuat, demi kebaikan pemain itu sendiri, yang telah mengharungi begitu banyak perlawanan tahun ini bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad Harimau Malaya.
“Satu keputusan yang amat berat dan sukar untuk saya lakukan, tetapi demi kebaikan Safawi, di mana kita tahu beliau telah bermain begitu banyak perlawanan dengan kelab dan juga pasukan kebangsaan, termasuk mewakili pasukan B-22 pada awal tahun.
“Jadi untuk kebaikan semua, saya terpaksa memutuskan supaya Safawi berehat, di mana kita mempunyai jadual yang amat penting pada tahun hadapan. Saya berharap semua faham dengan apa yang saya lakukan, adalah untuk kepentingan semua pihak,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan itu di Arena MPSJ, Subang Jaya di sini, hari ini.
Berikutan itu, Kim Swee percaya ia akan membuka ruang kepada pemain lain untuk menonjolkan kebolehan mereka, untuk mengisi ruang yang ditinggalkan pemain berusia 22 tahun itu.
Dalam tempoh 11 hari yang ini sahaja, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu, telah beraksi dalam tiga perlawanan bersama skuad senior negara, di mana tiga jaringan Safawi membantu Malaysia menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan pada 9 Nov dan Indonesia 2-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, semalam.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam aksi menentang Thailand, di mana skuad Harimau Malaya menewaskan kuasa bola sepak Asia Tenggara itu 2-1 pada Khamis, lalu.
Sementara itu, seramai tujuh pemain – Adam Nor Azlin, Muhammad Syahmi Safari, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Rashid, Muhammad Daniel Amier Norhisham dan Muhammad Haziq Nadzli, telah menyertai latihan pasukan B-22 itu pada hari ini, selepas menyelesaikan tugas bersama skuad kebangsaan.
Kim Swee seterusnya mempunyai tugas berat untuk menilai prestasi semua pemain dan mencari kombinasi pemain yang terbaik, sebelum mengugurkan 12 pemain, untuk menamakan senarai 20 pemain terakhir, sebelum bertolak ke Manila, Sabtu ini.
Mengenai pemilihan Adam sebagai pemain lebih umur bersama-sama dengan Muhammad Irfan Zakaria, beliau berkata ia untuk mendapatkan kombinasi yang serasi, dengan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, sebelum membuka kempen Kumpulan A, menentang Myanmar pada Isnin.
“Dalam waktu yang amat singkat, agak sukar bagi saya untuk membentuk kombinasi, tetapi dengan kemasukan Adam, Irfan, Doominic dan Haziq, kita dapat kombinasi yang kita biasa lakukan, sejak dua tahun yang lalu.
“Dah tentu dalam masa dua tiga hari ini takkan sempurna, sudah tentu selepas perlawanan persahabatan esok (menentang kelab Australia) dan beberapa hari latihan, saya percaya mereka mampu mencapai keserasian terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Adam, 23, yang bakal membuat penampilan ketiga di Sukan SEA sejak 2015 di Singapura, bertekad membawa pulang pingat emas temasya dwitahunan itu, selepas terpaksa berpuas hati dengan perak, pada edisi 2017 di Malaysia.
“Saya sedia bagi sepenuh komitmen saya dan membentuk kombinasi terbaik bersama pasukan ini, walaupun lebih 70 peratus pemain baharu. Ini merupakan peluang kedua bagi saya dan Irfan, untuk beraksi bersama pasukan ini, dan tak mustahil kita capai misi kita,” katanya.