June Wei mengekalkan rentak kemenangan dengan menewaskan pemain pilihan keempat itu dalam pertarungan sengit, 21-18, 12-21, 21-17, pada pusingan separuh akhir di Dewan 2020 di sini.
Menanti June Wei di final adalah Ren Peng Bo dari China yang terpaksa berhempas pulas menewaskan seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao 15-21, 21-17, 21-9, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
June Wei berusia 22 tahun itu berkata perlawanan menentang pencabarnya Kodai adalah sukar, namun tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang habis-habisan, bagi meraih slot ke final.
“Pada set pertama saya menang, tapi masuk set kedua dia dah tukar strategi lawan. Saya sedikit penat, namun bangkit semula di set ketiga. Bersyukur, boleh ke final,” kata June Wei kepada pemberita selepas perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad badminton lelaki negara, Datuk Misbun Sidek ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya itu yang semakin meningkat dan bijak dalam menyusun strategi perlawanan.
“Persembahan yang dipamerkan June Wei begitu bagus dan baik sekali. Maka sebab itu dia boleh pergi sejauh ini (masuk final). Walaupun dia merupakan ‘seasoned player’ namun dia dapat susun strategi untuk kalahkan lawan dia (Kodai).
“Kecergasan juga memainkan peranan penting. Satu tahap yang bagus buat June Wei,” katanya.
Turut mara ke final adalah pasangan beregu campuran negara, Man Wei Chong-Tan Pearly Koong Le yang akan menentang Dong Wei Jie-Chen Xio Fei dari China, pada Ahad.
Pada aksi separuh akhir Man Wei-Tan Pearly mempamerkan aksi cemerlang apabila mengalahkan pasangan Jepun Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-18, 21-19.