Pemain berusia 21 tahun itu akan melakukan penampilannya yang ke-100 bersama kelab berkenaan dalam perlawanan menentang Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini — tiga tahun selepas melakukan penampilan pertama di peringkat senior.
Dia merupakan sebahagian watak penting sepanjang era Jurgen Klopp dan tersenarai pendek untuk bersama 30 calon yang akan merebut Anugerah Ballon d’Or 2019.
Bagaimanapun, menjelang penampilan penting bersama kelab kesayangannya sejak dari zaman kanak-kanak itu, Alexander-Arnold memasang satu lagi impian yang perlu dipenuhi.
“Saya tidak malu untuk mengakuinya (menjadi kapten Liverpool) sebagai impian saya,” katanya dalam BBC Radio 5 Live.
“Sama ada ia akan menjadi kenyataan atau tidak, ia bukan terletak di tangan saya — bukan saya yang memilih kapten.
“Tetapi ia sesuatu yang mahu saya lakukan satu hari nanti.
“Mengetuai Liverpool sentiasa menjadi impian saya dan ia sesuatu yang memotivasikan saya.
“Saya sentiasa pemain Liverpool dan ia sentiasa menjadi rumah saya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bertukar kelab.
“Saya sentiasa fikirkan Liverpool ditakdirkan untuk menjadi kelab saya.
“Ketika saya membesar, impian saya adalah untuk beraksi bersama Liverpool.
“Sekarang, saya hidup dengan impian itu dan saya tidak nampak ia akan berubah,” katanya.
Alexander-Arnold menjadi pemain termuda untuk bermula dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut ketika Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur 2-0, Jun lalu.
Pemain kebangsaan England itu turut berterima kasih kepada Klopp kerana menjadikannya pemain seperti hari ini.
“Dia seorang yang menjadikan saya seperti hari ini.
“Dia mendorong saya untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari.
“Dia telah memberikan saya terlalu banyak peluang, saya tidak akan dapat membalas jasanya,” tambahnya.