Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata ia bertujuan memperkasakan sistem pembangunan bola sepak remaja yang akan memanfaatkan pasukan Piala Belia (B-19) dan Piala Presiden (B-21) di setiap negeri apabila jumlah pemain muda beraksi secara kompetitif bertambah.
Mohd Yusoff menjelaskan usaha itu boleh menjadi platform buat pemain muda yang tidak terpilih bersama skuad Piala Belia dan Piala Presiden negeri masing-masing untuk membuktikan kemampuan.
“Kalau dulu bakat muda di negeri kita hanya nampak dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden, jadi dengan wujudnya liga peringat umur di setiap negeri ini akan ramai pemain berbakat dapat dilahirkan walaupun tidak bersaing dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden.
“Kita juga tidak mahu terlepas pandang akan bakat pemain-pemain muda ini atau peluang mereka tersekat kerana gagal menempatkan diri dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali ke-9 Bagi Penggal 2017-2021 di Wisma FAM di Kelana Jaya, pada Sabtu.
FAM turut menyasarkan saingan liga negeri bagi peringkat umur Bawah 17 Tahun (B-17) dan Bawah 15 Tahun (B-15) turut akan dilaksanakan masing-masing menjelang 2022 dan 2024.
Menurut Mohd Yusoff, satu taklimat terperinci kepada semua persatuan negeri mengenai mekanisme perjalanan liga akan diadakan pada Januari depan.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata tempoh jendela perpindahan pemain turut akan dilaksanakan bagi membolehkan pemain di liga negeri berkenaan diserap ke dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden dan sebaliknya.
“Adanya format jendela perpindahan pemain antara pasukan Belia serta Presiden dengan pasukan liga negeri ia memberi ruang kepada proses naik dan turun pemain ke dalam sesuatu pasukan.
“Ia akan memastikan lebih banyak bakat di negeri boleh turut serta dan secara tidak langsung akan memberi motivasi dan tekanan kepada pemain dalam skuad Belia dan Presiden untuk bekerja keras,” jelas Stuart.
Dalam perkembangan berasingan, Stuart mengesahkan format pertandingan Piala Belia dan Presiden akan berubah bermula musim hadapan dengan memisahkan saingan liga kepada dua zon; Utara dan Selatan tanpa mengurangkan jumlah perlawanan yang perlu ditempuhi setiap pasukan.
Katanya pasukan Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor akan bersaing dalam zon Selatan manakala Terengganu dan Kelantan bersaing dalam zon Utara.
“Ini telah dimuktamadkan demi mengurangkan kos perjalanan serta kos penginapan setiap pasukan bertanding,” katanya.