Pentingnya falsafah dan prinsip asas penubuhan kelab – Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui penting bagi sesebuah kelab bola sepak mempunyai falsafah yang selari dengan misi dan visi badan induk.

Beliau berkata demikian selepas delegasi FAM didedahkan kepada falsafah, tradisi dan prinsip asas kewujudan Tokyo FC, pendahulu Divisyen Satu Liga J, serta kaedah kerjasama dengan komuniti dan sekolah dalam memastikan pembangunan bola sepak kekal mekar ibu kota Jepun itu.

“Lawatan ke Tokyo FC ini menunjukkan betapa pentingnya kelab mempunyai falsafah tersendiri yang selari dengan misi dan visi badan induk.

“Tokyo FC mempunyai identiti, tradisi, prinsip asas penubuhan dan falsafah pembangunan pemain serta DNA yang jelas untuk dikongsi bersama semua pemegang taruh. Ini yang harus ada dengan ahli gabungan FAM serta program pembangunan belia seperti NFDP,” kata Hamidin dalam entri terkini laman Facebook rasmi FAM.

Selepas taklimat hampir dua jam oleh Pengurus Strategi Belia dan Jabatan Pembangunan Tokyo FC, Takashi Okuhara dan Pengurus Jabatan Perakaunan dan Perancangannya, Nobuki Kobayashi semasa lawatan itu, delegasi FAM dibawa melawat Stadium Ajinomoto yang juga gelanggang Tokyo FC dikongsi bersama Tokyo Verdy, kelab divisyen dua.

Tokyo FC yang ditubuhkan pada 1935 dengan nama Tokyo Gas Soccer Club, kini mendahului divisyen satu Liga J dan dibimbing oleh Kenta Hasegawa.

Antara nama besar yang pernah menyarung jersi Tokyo FC ialah Yuto Nagatomo dan Yuichi Doi.

Okuhara berkata pembangunan pemain mereka bermula pada peringkat pertumbuhan iaitu di sekolah, seterusnya ke peringkat pembangunan pada usia bawah 15 tahun (B-15).

“Pemain B-18 tahun kami pula ada seramai 45 pemain, dibahagikan kepada dua pasukan, satu pasukan bertanding dalam Liga nasional, satu lagi di Liga Tokyo.

“Kami juga mempunyai pusat latihan sendiri yang sedia lengkap dan dengan ini kelab dapat membantu Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dalam membentuk pembangunan pasukan kebangsaan,” katanya.

Delegasi FAM kemudian turut dibawa melawat Stadium Ajinomoto yang dibuka secara rasmi pada 10 Mac 2001 dengan kapasiti 49,970 penyokong. Ia adalah stadium pertama menggunakan hak nama jenama di Jepun.