Azizulhasni tidak tertekan gagal raih emas acara keirin

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mengakui tidak terkesan dengan kekalahannya kepada pelumba Taiwan, Kang Shih Feng dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2019 di Velodrom Nasional, di sini, pada Jumaat.

Malah bekas juara dunia itu akur dengan pingat perak yang diraihnya dan menjelaskan perlumbaan pada Jumaat adalah sebagai sebahagian daripada latihan serta persiapan sebelum ke Piala Dunia.

“Bagi saya tiada apa (kerisauan) sebab semalam (Khamis) acara pecut untuk mengumpul mata ke Piala Dunia. Jadi sebab itu saya datang untuk keirin hari ini sebagai persediaan dan juga latihan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Azizulhasni atau lebih mesra dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ bagaimanapun tetap mengakui pusingan akhir itu berlangsung sengit dan terpaksa akur apabila pelumba Taiwan itu mampu mencuri peluang.

“Saya ingat tiada orang di belakang saya sampai separuh pusingan, baru saya dapat rasa ada orang hendak potong. Saya ingat itu rakan sepasukan Shariz Efendi, tapi bila orang itu sudah di sebelah dan saya intai tengok, dia pelumba dari Taiwan.

“Saya sudah tidak sempat hendak kejar kelajuannya sehingga dia boleh memintas saya dan akhirnya saya di tempat kedua,” katanya.

Dalam kategori wanita pula menyaksikan pelumba muda meningkat naik, Anis Amira Rosidi menyumbang pingat perak manakala nasib tidak menyebelahi pelumba senior Fatehah Mustapa yang gagal menempatkan diri ke pusingan akhir dan sekadar menduduki tempat kelapan.

Pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri berjaya meraih emas di acara utamanya itu, manakala tempat ketiga disandang Yeung Cho Yiu dari Hong Kong.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan John Beasley, berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya di kejohanan berkenaan.

“Saya gembira dengan Azizulhasni, Muhammad Fadhil dan Mohamad Shariz Efendi kerana layak ke final. Kami mahu menang tetapi hari ini bukan harinya,” katanya.