Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu menjelaskan sehingga kini beliau tidak dihubungi ataupun berhubung dengan mana-mana pasukan sebagai menghormati kontrak bersama pasukannya.
“Saya hanya fokus dengan pasukan saya…saya masih ada kontrak bersama KTM dan saya belum putuskan ke mana saya akan pergi dan tak ada berhubung dengan mana-mana pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Grand Prix Malaysia 2019 di sini, pada Selasa.
Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 berusia 25 tahun itu mengakui fokus utamanya adalah menampilkan aksi terbaik dalam menamatkan baki saingan perlumbaan musim ini.
Hafizh, bagaimanapun mengakui perlumbaan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), November ini bakal jadi satu perlumbaan yang sukar buatnya, namun tetap berazam menceriakan penyokongnya terutama rakyat Malaysia.
“Harapan saya di Sepang bersama jentera KTM saya cuba buat yang terbaik, saya tak berani nak janji sebab keadaan jentera yang bagi saya agak kurang memuaskan.
“Saya perlu bekerja keras sebelum sampai perlumbaan GP Malaysia dan saya harap kalau boleh dapat meraih mata pada perlumbaan itu nanti,” tambah beliau.
Bercakap mengenai motivasinya selepas pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder sah menggantikan posisi beliau meskipun musim belum tamat, Hafizh berkata semangatnya kekal membara dan ingin menikmati baki perlumbaan musim ini.
“Buat masa sekarang motivasi saya masih tinggi, saya masih bersemangat untuk berlumba dan saya masih bersemangat nak berikan terbaik untuk semua. Saya mahu berikan yang terbaik kepada pasukan sebelum saya berangkat ke tempat lain,” tambah beliau.
Untuk rekod, Hafizh berjaya meraih tiga mata selepas mengharungi sembilan perlumbaan dan akan menamatkan baki 10 perlumbaan, dengan GP Malaysia merupakan destinasi kedua terakhir dalam kalendar perlumbaan musim ini.