Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tiada kejadian melampaui biasa dilaporkan, menurut Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din, hari ini.
“Kejadian kluster ini selari dengan peningkatan kes influenza yang dijangka berlaku di musim hujan dan penularan berlaku kerana hubungan rapat sesama pemain.
“Walau bagaimanapun, tiada wabak atau kejadian melampaui tahap biasa kejadian dan keadaan masih terkawal,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dr Shaharom berkata, terdapat sembilan kes influenza dilaporkan pada 2 Julai lalu, lapan daripadanya disahkan menghidap Influenza B manakala seorang lagi Influenza A.
“Kesemua pemain ini telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru dan kini dalam keadaan stabil,” tambahnya.
Menurutnya, tindakan awal telah diambil bagi mencegah penularan antaranya disinfeksi pusat latihan pemain bola sepak di Padang Seri Gelam.
Pembersihan dari semasa ke semasa perlu dijalankan sebagai langkah pencegahan dan kawalan.
Katanya pemberian suntikan vaksin prophylaxis – Influenza PFS juga diberikan kepada 31 orang termasuk pemain dan jurulatih.
“Pihak jabatan juga memberi promosi kesihatan mengenai tatacara kebersihan diri yang betul dan penggunaan pencuci tangan beralkohol kepada kontak pesakit.
“Malah pembekalan pencuci tangan beralkohol juga dibekalkan di bilik rawatan pemain,” tambahnya.
Dr Shaharom berkata, influenza adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang berjangkit melalui sistem pernafasan dengan gejala utama seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot dan kelesuan.
Gejala dan tanda-tanda jangkitan adalah berbeza mengikut kategori umur mereka yang dijangkiti.
“Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes),” jelasnya.