Bibi Ramjani sedia letak jawatan secara sukarela

KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan sedia melepaskan jawatan yang disandangnya secara sukarela untuk memberi laluan kepada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan tersebut untuk memilih peneraju baharu.

Menurutnya, beliau ketika ini sedang menunggu calon presiden baharu yang akan diangkat oleh beberapa Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk menggantinya.

“Saya tunggu presiden baharu sebab bila dah ada, saya secara sukarela akan letak jawatan kerana ketika ini urusan kewangan di bahu saya seorang.

“Kalau saya tinggal (letak jawatan) KAFA sekarang, persatuan ini akan ‘mati’ kerana jika EGM mengambil masa lama untuk diadakan, tunggakkan hutang semakin banyak.

“Hal ini berlaku ketika Tan Sri Annuar Musa meletak jawatan kerana EGM mengambil masa lama untuk diadakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan PBJ telah menyenarai pendek nama individu untuk diangkat sebagai presiden baharu antaranya seorang tokoh politik.

Bibi Ramjani berkata bermungkinan PBJ mempunyai calon yang terbaik bagi menggantikan beliau untuk memimpin persatuan itu.

“Ia akan mengambil masa dan saya harus bertenang dalam menangani kata-kata yang tidak sesuai telah diperkatakan terhadap diri saya.

Sementara itu, berhubung tuntutan bekas ketua pasukan itu, Mohd Badhri Mohd Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya, Bibi Ramjani berkata pemain terbabit tidak berhak menuntut gaji bagi bulan Mac dan April kerana pada masa itu beliau bermain dengan pasukan Red Warrior Kelantan.

“Berpandukan kontrak, gaji pemain terbabit akan dibayar oleh syarikat Kelantan Red Warrior (KRW) Sdn. Bhd dengan jaminan MyInsparation Sdn.Bhd.

“Dia (Mohd Badhri) tidak seharusnya meletakan kesalahan kepada KAFA dan sepatutnya memahami segala isi kandungan kontrak sebelum menurunkan tandatangan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan syarat yang diberikan KAFA kepada pemain terbabit supaya tidak menuntut tunggakan gaji selama dua bulan untuk musim 2019 sekiranya mahu mendapatkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN).