Baginda bertitah apa yang diketahuinya, MFL hanya memiliki satu sahaja agenda iaitu memajukan industri bola sepak tanah air dan oleh itu, tidak timbul soal ia mempunyai agenda lain seperti didakwa pihak tertentu.
“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri bola sepak tanah air berhak untuk bertanya (mengenai isu geran) tetapi apabila bertanya jangan pula ada buat spekulasi, macam contoh mengatakan ada ke agenda lain di dalam MFL?
“MFL ada satu sahaja agenda iaitu untuk memajukan bola sepak tanah air. Itu satu-satunya agenda MFL ada,” titahnya dalam sidang media, di sini pada Rabu.
Titah baginda MFL tidak bermaksud untuk lambat dalam pembayaran kerana ia sedikit ‘tergugat’ selepas berdepan dengan penamatan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia.
Tunku Ismail bertitah bagaimanapun perkara itu tidak akan digunakan sebagai alasan kelewatan itu dan MFL akan memastikan geran tahunan itu diserahkan kepada pasukan bertanding.
“Macam mana pun, kami kena serahkan tahun ini… Ini adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada MFL,” katanya.
Baginda mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan MFL selaku pengendali Liga M mempunyai agenda tersendiri apabila melambatkan penyerahan geran tahunan kepada semua pasukan.
Tunku Ismail bertitah melihat keadaan semasa itu, terdapat keperluan untuk MFL mencari penaja daripada luar negara jika mahu melihat industri bola sepak tanah air terus berkembang.
“Kita kena cari penaja daripada luar negara supaya MFL boleh terus memberikan geran kepada pasukan-pasukan lain dan MFL sedang bekerja keras dalam hal ini,” katanya.