FAM tidak lanjutkan khidmat Bojan Hodak

KUALA LUMPUR: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, itu nasib jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak pengendali dari Croatia itu hujung Julai ini.

Mac lalu, Hodak mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sistem bola sepak negara sejurus selepas anak buahnya tewas buat kali kedua dalam Kejohanan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun.

Kritikan bekas jurulatih Kelantan itu mengundang rasa kurang senang FAM yang menyifatkan tindakannya itu sebagai tidak bertanggungjawab terhadap keputusan kurang baik yang diraih pasukan.

Ketika nasibnya ibarat telur di hujung tanduk, FAM dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kelapan di ibu negara baru-baru ini telah memutuskan kedudukan jurulatih itu.

“Kami telah mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Bojan selaku ketua jurulatih skuad B-19 negara,” katanya.

Stuart, bagaimanapun, menafikan keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan Hodak berkenaan, sebaliknya badan induk itu mahu mahu menyuntik falsafah baru dalam skuad pelapis kebangsaan.

“Luahan perasaan tiada kaitan dengan keputusan ini. Kami hanya memberikan keutamaan kepada pembangunan skuad ini,” ujarnya.

Difahamkan, penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, akan dilantik untuk menggantikan tempat Hodak sebagai jurulatih skuad B-19 negara.

“Kami sedang berbincang dalam usaha untuk menggunakan jurulatih dalam FAM dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.