Atlet-atlet berkenaan sebelum ini di bawah naungan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) dan selepas pendaftaran persatuan itu dibatalkan oleh Pesuruhjaya Sukan pada Mei tahun lalu, Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) ditubuh dan diiktiraf pada Disember lalu sebagai badan induk baharu sukan berkenaan.
Pendaftaran ISAM dibatalkan selepas gagal mengemukakan laporan kewangan dari 2008 hingga 2017 kepada Pesuruhjaya Sukan.
Bagaimanapun, atlet negara di bawah ISAM sebelum ini ‘terperangkap’ apabila MISF menyingkirkan mereka daripada skuad negara tanpa alasan yang munasabah sehingga sesi latihan terpaksa dilakukan secara persendirian.
Salah seorang atlet negara, yang menjadi mangsa, Muhammad Ammer Iman Fadzil, mendakwa beliau dan rakan sepasukannya telah disingkirkan daripada skuad negara oleh MISF, sekali gus menutup peluang mereka untuk mempertahankan pingat emas di Filipina.
Pemenang emas acara 3,000m short track berpasukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu mendakwa tindakan itu adalah tidak adil dan Kementerian Belia dan Sukan terlepas perhatian terhadap masalah yang dihadapi mereka.
Menurutnya atlet berusia 17 tahun itu, krisis dengan MISF telah menjejaskan sesi latihan persendirian yang dilakukan oleh mereka dengan harapan dapat dipanggil balik mewakili negara.
“MISF memberi tekanan kepada kami… mereka mengusir kami daripada skuad negara dan menyatakan kami tidak boleh menyertai Sukan SEA tanpa memberi sebab,” katanya.
Selain, Muhammad Ammer Iman, anggota pasukan itu dibarisi Khairil Ridhwan Khalil, Ariff Rasydan Fadzil, Hazim Syahmi Shahrum dan Wong De-vin.
Seorang lagi atlet negara, Chew Sze Chyi berharap krisis antara atlet ISAM dengan MISF dapat diselesaikan supaya beliau dapat memenuhi impian untuk beraksi di Filipina.
“Saya menjadi atlet simpanan pada Sukan SEA lalu dan berharap tahun ini dapat bertanding. Harap-harap semua isu dalaman dapat diselesaikan segara supaya boleh melakukan persiapan dengan lancar,” katanya.
Sementara itu, bekas ketua jurulatih skuad Sukan SEA Kuala Lumpur, Tan Bee Leng berkata, agak, mustahil untuk Malaysia mengulangi pencapaian lima emas dan tiga gangsa pada temasya kali ini memandangkan hanya tinggal enam bulan sebelum temasya dwitahunan itu bermula.
“Saya fikir kita tidak begitu bersedia kali ini. Pada pandangan saya, kita hanya mampu mencapai tiga emas. Persediaan negara peserta lain sudah di tahap yang tinggi dengan kebanyakan mereka menghantar atlet ke Korea Selatan dan Amerika Syarikat untuk latihan tetapi kita masih belum melakukan persediaan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib mengesahkan pihaknya hanya berurusan dengan MISF termasuk soal pemilihan atlet ke Sukan SEA Filipina.
Beliau berkata pendaftaran ISAM telah dibatalkan dan MOM turut membatalkan pendaftaran persatuan itu sebagai ahli gabungan MOM.
Bagaimanapun, katanya, proses pemilihan atlet dilakukan oleh MOM, Majlis Sukan Negara. Institut Sukan Negara dan anggota bebas jawatankuasa pemilihan MOM.
“Buat masa ini, kami belum menerima sebarang aduan. Mereka yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan atlet ke Sukan SEA 2019, boleh mengemukakan aduan,” katanya.