Keputusan pengadil yang kerap tidak memihak Malaysia dalam suku keempat hampir meragut peluang skuad negara ke separuh akhir.
Malaysia melancarkan serangan bertali-arus ketika Wales mengeluarkan penjaga gol untuk bermain secara ‘kicking fullback’.
Namun, pengadil mendakwa pemain negara banyak melakukan kesalahan dalam kawasan D.
Beberapa gerakan yang sepatutnya menghasilkan pukulan sudut penalti dinafikan, namun pemain negara mengkekalkan fokus hingga siren penamat dibunyikan.
“Kami hanya perlu meneruskan serangan untuk mungkin memperoleh lebih banyak gol dalam perlawanan ini.
“Apabila anda kerap melakukan serangan tetapi barisan pertahanan dalam keadaan bahaya, anda perlu membantu mereka seperti yang kami lakukan hari ini.
“Kami mempamerkan aksi yang lebih sabar hari ini dan itulah yang diperlukan walaupun masih terdapat ruang untuk diperbaiki,” katanya.
Malaysia membuka jaringan menerusi penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, pada minit ke-27 sebelum Faizal Saari melebarkan kedudukan pada minit ke-39.
Wales cuba bangkit menerusi gol daripada Luke Hawker pada minit ke-56, namun sudah terlewat untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
“Kami tidak memanfaatkan setiap peluang yang tiba.
“Kami tidak memanfaatkan pukulan sudut penalti dan bermain dalam keadaan yang tidak teratur.
“Ia perlawanan yang penuh dengan serangan balas, namun Malaysia memanfaatkan peluang dengan lebih baik,” kata kapten Wales, Lewis Prosser.