Dalam pertarungan ‘co-main event’, petarung New Zealand, Israel Adesanya berjaya menewaskan Kelvin Gastelum dari Australia menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).
Kedua-dua petinju dilihat memberikan persembahan terbaik mereka pada perlawanan tersebut.
Pada pusingan kelima, kedudukan mata mereka terikat 38-38, namun Adesanya bangkit melepaskan tumbukan padu ke arah Gastelum — merebahkan lawannya ke kanvas Octagon.
Serangan demi serangan dilancarkan oleh petarung berusia 29 tahun itu hinggalah ke saat akhir pertarungan.
Ketiga-tiga juri kemudiannya memberikan mata 48-46, yang jelas memihak kepada Adesanya, sekali gus mengisytiharkannya sebagai pemenang dan juara baharu UFC Interim Middleweight.
Dengan kemenangan itu, Adesanya akan bertemu dengan jaguh Australia, Robert Whittaker bagi menentukan juara sebenar bagi divisyen middleweight.
Ia turut melebarkan lagi rekod kemenangan Adesanya kepada 17-0.
Sementara itu, bagi acara utama (main event) pula, petarung ‘favourite’ Max Holloway tumpas kepada petarung Amerika Syarikat, Dustin Poirier.
Juara featherweight UFC dari Hawaii itu naik ke divisyen lightweight bagi merebut gelaran Juara Interim UFC Lightweight.
Bagaimanapun, cubaannya gagal apabila dia menerima tentangan hebat dari Poirier sejak awal pusingan pertama dan kedua lagi.
Serangan daripada Poirer pada awal pertarungan ternyata memberi kesan kepada persembahan Holloway.
Sungguh pun dapat melakukan serangan balas dan bertahan hingga ke pusingan kelima, namun markah yang diberikan juri memihak kepada Poirier dengan keputusan sebulat suara, 49-46.
Dengan keputusan ini, Poirer, 30 tahun, akan bertemu dengan juara lightweight UFC sebenar iaitu Khabib Nurmagomedov, yang dijangka berlangsung pada September nanti.
Pertarungan antara Holloway dan Poirier ini merupakan pertarungan ‘rematch’, di mana kali pertama mereka bertemu adalah pada tujuh tahun dahulu yang menyaksikan Poirier menang menerusi kuncian ‘armbar’ pada pusingan pertama.